Wednesday, May 18, 2011

Bulan Puasa

Teringat semasa bulan puasa! Bila nak berbuka akan lalulah budak jual air batu...air batuuu, airr batuuuu...camtu. Kami bergegas kejalan raya untuk membeli seketul air batu dari penjual air batu tu. Memang sedap berbuka dengan air batu...sejukkk jer tekak!

Seketul air batu berukuran 6" x 4" x 3" cuma 10 sen sahaja. Kalau double sizenya 20 sen lah harganya. Namun kami beli yang 10 sen jer, tu pun dah mencukupi. Air batu ni dibungkus ngan abuk-papan dan bari dibungkus ngan paper. Kalau tak buat begitu memang tak sampai berbukalah jawabnya. Ia akan cair dan tak boleh dipakai lagi.

Air batu ini adalah untuk menyejukkan air minuman seperti air sirap, kembang semangkuk, air kelapa dan sebagainya. Memang sedap pun....sejuk jer tekak semasa berbuka!!!

Sunday, August 22, 2010

Bulan Puasa


Teringat semasa bulan puasa dikampung dulu. Selalunya bulan puasa cukup seronok dilalui dan meriah sungguh, terutamanya semasa menjelang hari raya. Sepuluh hari terakhir bulan puasa memang dah berdentum dentam main meriam buluh. Murah jer masa tu, carbide harga 30 sen jer dah boleh dapat satu kati. Buluh aur pun banyak terdapat ditepi bonda atau tepi Sungai Muar tu. Maka berdentum dentamlah main meriam buluh dan berlawanan pula dengan orang seberang bunyi ledakan meriam tu.

Pada malam hari selepas berbuka, pergi surau Lebai Husin, mengerjakan sembahyang Isya dan juga terawih. Yang seronoknya semasa membaca doa diantara rakaat2 solat terawih tu...allahum massali mualaiiii...dengan jeritan yang kuat sekali! Rioh mesjid, dan Lebai Husin senyum saja, tak marah pun Tuan Guru mengaji Quran kami tu.

Pada setiap petang sebelum berbuka, ada orang jual air batu. Dia akan lalu dijalan depan rumah dan melaung....Air Batu!!!! Mesti beli punya, harga seketul seberat 1 kg tu cuma 10 sen jer, memang mampu sangat ibu-bapa kami membelinya. Sudah pasti masa berbuka tu memang seronok sekali meneguk air sirap...sejuk jer leher kami! Dahaga pun cepat hilang dengan ada air batu!

Pelita kami gunakan batang buluh yang direka khas untuk jadi pelita. Ianya dipasang seminggu sebelum hari raya. Seronok sungguh menyambut menjelangnya hari raya di kampung!

Friday, June 19, 2009

Main Hoki

Pokok Kantan yang sangat sesuai untuk kayu-hoki

Semasa aku kecil2 dahulu banyaklah riadah yang aku lakukan bersama kengkawan yang sebaya denganku. Kami tidaklah terbelenggu dengan permainan dikampung sahaja, seperti melastik burung, main bola, main senapang buluh dan sebagainya. Kami juga 'up-to-date' jugak. Salah satu permainan canggih yang kami mainkan ialah permainan hoki!

Kebetulan pula di hadapan rumahku terdapat sekangkang kera padang rumput yang sangat sesuai untuk kami berlompat, bermain dan berlari sebagainya. Di padang inilah setiap hari cuti hujung minggu dan juga setiap petang kami berkumpul untuk menjalankan pelbagai riadah.

Permaianan hoki ini kami gunakan bola getah yang sebesar bola-tenis tu. Harganya pun murah, kalau tak silap 10 sen jer sebijik masa tu! Dan yang hebatnya ialah kayu hoki atau kawan2ku panggil 'hockey-stick' yang mana ianya amat original bagi kampungku. Ianya adalah asli. Kami gunakan batang pokok kantan yang dicabut dengan teliti dengan memastikan urat empedunya masih 'intact'. Bila dicabut dengan betul maka ianya sangat menyerupai betul dengan kayu-hoki. Namun ianya perlu dikemaskan dengan pisau supaya urat2 kecil tidak berserabut pada 'pad' kayu itu.

Musim hoki ini selalunya berlanjutan beberapa minggu juga, ianya mengambil sempena pertandingan hoki-international di Kuala Lumpur yang sedang hangat berlangsung. Kami tahu pun melalui radio sahaja, manalah ada TV masa tu. Kalau hebat pertandingan diperengkat nasional maka lebih hebatlah lagi pertandingan kami.

Yang menariknya, kami bertanding main hoki ini secara 'unisex'. Ini adalah disebabkan jumlah kami tidak mencukupi, dan yang perempuan pun apa kurangnya dalam permaianan ini. Malahan ianya menjadi tarikan juga bila ada juga 'bunga2' menyerikan pasukan kami. Kami bermain hingga lewat petang dan yang kacaknya ialah apabila balik itu, maka kami berjalan longlai dengan kayu-hoki ini tergalas di atas bahu kami! Macamlah saorang pemain hoki-international!!!

Aku percaya, kumpulan aku inilah yang terakhir bermain hoki secara ini. Kemudian dari ini pelbagai riadah moden kian menular di kampungku maka permainan 'canggih' yang pernah aku lalui ini kian pupus. Namun dalam ingatanku, inilah satu satunya riadah yang banyak membawa kenangan kepadaku dan juga kengkawan ku!

Monday, June 15, 2009

Meriam buluh

Salah satu kemestian semasa zaman kanak kanak dahulu ialah bermain meriam buloh apabila sampai musim nya iaitu dari penengahan bulan puasa hingga membawa ke raya. Sebenarnya ada dua jenis meriam ini iaitu meriam-buluh dan meriam-tanah.

Konsepnya memang sama iaitu menggunakan 'carbide' yang mudah dibeli di pekan. 'Carbide' ini menyerupai batu2 seperti kemenyan dan berwarna kelabu. Ianya direndam dalam air dan akan mengeluarkan bueh serta gas. Gas inilah yang jika dibakar akan menyambar apinya, apatah lagi ianya dalam tempat yang tersepit. Ianya akan meletup!

Meriam buluh diperbuat dari 'buluh aur' iaitu sejenis buluh yang amat besar saiznya. Ianya sebesar peha saorang dewasa. Ianya dipotong sepanjang 6 kaki ke 8 kaki begitu. Selepas itu semua ruangnya ditebuk hanya meninggalkan yang terbawah sekali. Ruang bawah inilah tempat merendam 'carbide' itu dan 6 inci atas paras air itu ditebuk lubang kecil untuk tempat keluar gas. Dan disini jugalah untuk mencucuh bakaran. Setiap kali ianya dicucuh setiap kali itulah letupan bergema.

Meriam tanah pula paling mudah. Ianya dibuat dalam tanah dengan satu saluran dibuat khas untuk cucuhan. Bunyi ledakannya sangat kuat dan bergema. Namun meriam buluh sangat di minati ramai kerana bunyinya yang boleh dihalakan kessesuatu arah dan mudah sangat dicucuh.

Semasa musim perayaan, maka berdentum dentamlah bunyi meriam2 ini. Selalunya ia berbalas-balas bunyi kerana orang di seberang juga (seberang Temuar) ada bermain meriam buluh. Sekiranya ianya tidak berbalas maka pada dasarnya berasa malu jugaklah pemuda-pemuda di kampung itu.

Saturday, May 30, 2009

Aktiviti menangkap ikan (mengocar)



Salah satu aktiviti yang aku amat minati sewaktu zaman aku kecil dulu ( sekitar tahun lima puluhan) ialah acara menangkap ikan berkumpulan atau lebih di kenali dengan istilah kampung 'mengocar'.

Aktiviti ini di jalankan pada masa Batang Muar atau lebih dikenali di kampung dengan nama 'temuar' air nya cetek. Kebiasaan nya dijalankan di masa orang kampung tidak kesawah samaada menunggu padi membesar atau pun lepas menuai. Orang dewasa yang memainkan peranan. Kami kanak kanak hanya berseronok main air mengikut rombongan mengocar dari ulu ke hilir.

Kaum ibu menggunakan tangguk tali (di perbuat dari tali ala jala) sementara kaum bapa menggunakan jala tebar. Kaum ibu mengacau serta menangkap ikan di tepi tebing sementara bapa menjala ikan yang dapat lari dari kepungan kaum ibu.

Arwah emak aku walaupun sakit asthma juga turut serta. Sesekali dia kena naik ke darat (pasir) untuk sedutan asap ubat asthma nya. Emak aku tak pakai tangguk. Dia cekap menggunakan tangan menangkap ikan dalam air. Bukanlan akau nak puji mak aku! Kalau tak caya tanya lah orang orang tua di kampungku. Selain tenggelam timbul dalam air tugas aku ia lah bawa keruntung (bekas ikan) untuk simpan ikan yang ditangkap olih abah atau emak aku.

Pada satu hari semasa aktiviti menangkap ikan ini berjalan, emak aku datang untuk simpan ikan yang baru ditangkap nya. Aku amat terkejut apabila dibawa seekor di tangan kanannya, seekor di tangan kiri nya dan seekor digigit. Rupa rupa nya tempat yang dia raba tu terlalu banyak ikan dan dia terpaksa gigit seekor untuk mendapatkan 3 ekor. Di zaman ini juga lah aku belajar menggunakan jala tebar.

Semua nya kini hanya tinggal kenangan. Emak dan abahku dah lama meninggal dunia. Sungai kesayangan kami itu pun dan cetek dan air gatal kerana ada kilang kilang di sebelah hulu yang mengalirkan sisa kedalam nya. Baung, sebarau, kalui, lampam serta udang galah yang dahulu nya membiak di sungai ini sudah pupus sama sekali. Inikah harga pembangunan?

Thursday, May 28, 2009

Tribute to 'ACAR'

Burung merbah

Semasa kecik-kecik dahulu, kami memang suka berpoya-poya dan menghabiskan masa memburu yakni menggunakan lastik dikawasan hutan di tepi Batang Muar dibelakang rumahku. Dari kumpulan geng memburu ini terdapatlah saorang kawan tu yang bernama "ACAR", dan dia ni memang terror sekali menggunakan lastik. Selalunya bidikannya adalah tepat sekali dan banyak habuan diperolehi setiap kali memburu itu. Kemasyurannya memang amat terserlah digulungan kami.

Biasanya burung-burung yang mampu kami dapat ialah burung merbah, kelicap dan kadangkala tu burung punai pun ada. Tengok nasiblah tu, kalau rezki baik memang malam tu merendang burunglah kami. Batang Muar memang tempat kami bermain pun, disamping melastik kami juga sering bermandi-manda disungai yang amat bersih airnya serta dingin pulak tu. Sesungguhnya ianya amat menyegarkan.

Seronok mandi terjun tiruk dan juga 'bercemporo' dalam sungai yang amat indah itu. Tempat favourite kami ialah di lubuk sungai yang bertentangan dengan 'Lubuk Dalam'. Disinilah selalunya lepas balik sekolah kami menjerit, melolong dan melompat kedalam sungai. Ianya lagi seronok bilamana ada pulak untaian urat2 yang boleh kami panjat dan berbuai-buai sebelum terjun ke dalam sungai.

Kini Batang Muar sudah sangat tercemar airnya dan sungainya pun sudah menjadi amat kecil kerana beberapa empangan telah dibuat di ulu sungai. Burung2 masih banyak terdapat ditepi sungai tersebut, namun air sungai yang amat sedikit dan tercemar pula tidak sesuai lagi untuk bermandi-manda dan terjun tiruk.

Acar atau 'MOHD KAZA BIN ALIAS' telah memasukki askar selepas tamat persekolahan dan kemudiannya terlibat dalam kemalangan jalan-raya dan telah meninggal dunia dalam usia yang amat muda lagi. Al-fatihah...

Kegemilangannya sebagai 'pelastik' handalan masih belum di atasi oleh sesiapa pun dikampungku. Namanya masih harum dan masih disebut sebut oleh orang2 di kampungku. Saorang pakar dalam buat lastik, meriam buluh dan juga pembidik lastik yang unggul.

Friday, May 22, 2009

Sinopsis

Aku saorang budak kampung. Dilahirkan dikampung dan dibesarkan di kampung. Apabila tamat persekolahan aku berhijrah ke bandar Kuala Lumpur dan mulalah aku menjalani hidup berdikari dan berusaha gigih untuk meneruskan hidupku.

Namun segala pengembaraan hidupku masih berkisar di kampung kerana kampunglah tempat tumpah darahku dan tempat aku mengenal dunia dan mengenal kepayahan dan kesenangan hidup. Kampung halamanku adalah dimana hatiku sentiasa terpaut.

Cebisan kisah yang akan terpapar nanti akan banyak mengisahkan hidup dikampung. Kampungku dan duniaku.